Syabas Panglima ATM, Tentera bukan Polis

Wrote by Zulhasmi NS

UMNO kini begitu terdesak untuk menghidupkan sisa-sisa perjuangannya yang terbukti kini semakin jauh dari masyarakat khususnya orang-orang Melayu. Setelah berbagai cara telah dilakukan dan berbagai propaganda telah dimainkan melalui media-media kerajaan, namun usaha untuk menghilangkan pengaruh pembangkang terutamanya PAS dan KeADILan ternyata tidak berhasil dan rakyat semakin simpati dengan pihak pembangkang.

Apa lagi yang tidak digunakan oleh UMNO untuk menghalang pengaruh pembangkang? Apa yang memeranjatkan kita ialah baru-baru ini UMNO mendedahkan bahawa pembangkang khususnya Parti KeADILan telah cuba mempengaruhi Angkatan Tentera Malaysia untuk merampas kuasa selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Maka, pegawai-pegawai tentera yang dah jadi `ayam pencen' pun mula berkokok dan mengiyakan apa yang dikatakan oleh mulut-mulut pemimpin haprak UMNO itu.

Bekas pemimpin KeADILan yang tidak popular dan tidak berpengaruh itupun bersuara juga. Saya telah cuba bertanya beberapa orang pegawai tentera termasuk peringkat bawahan di dalam ATM bagi mengetahui apakah mereka pernah mendengar rancangan penggulingan tersebut. Mereka-mereka ini (anggota tentera) kebanyakannya ketawa dan berkata `Tidakkah awak mengenali UMNO selama ini? Pelik lagi ajaib, setelah bertahun-tahun rancangan `penggulingan' kerajaan ini dikatakan berlaku, baru sekarang heboh diperkatakan.

Ini bermakna badan perisikan ATM ternyata tidak profesional dan terlalu lembab. Masakan rancangan sebesar itu tidak boleh dikesan dan tidak diketahui langsung oleh peringkat-peringkat bawahan? Mengapa pegawai yang dah pencen pula membuat pendedahan? Masakan rancangan penggulingan kerajaan ini hanya melibatkan pegawai-pegawai atasan sahaja tanpa diketahui oleh peringkat-peringkat bawahan?

Mampukah penggulingan kerajaan dilakukan hanya dengan beberapa kerat pegawai tentera sahaja? Sebenarnya, UMNO mulai sedar yang tidak suka kepada UMNO bukan sahaja rakyat biasa bahkan anggota-anggota keselamatan juga begitu. UMNO masih ingat, undi pos di Teluk Kemang dalam Pilihanraya Kecil yang lalu berpihak kepada Parti Pembangkang.

Dalam kaji selidik yang telah dilakukan oleh badan perisikan ATM telah membuktikan bahawa majoriti anggota-anggota keselamatan khususnya anggota tentera tidak lagi mengharapkan UMNO untuk menjadi tunggak pemerintahan negara ini. Mereka sedar, UMNO telah banyak menghancurkan harapan rakyat, harapan orang-orang Melayu dan lebih sedih lagi harapan umat-umat Islam di negara tercinta ini.

Selepas pemecatan Dato' Seri Anwar, UMNO dipandang jijik oleh orang- orang Melayu dan yang lebih malang lagi rakyat tidak bersemangat lagi untuk menyambut Hari Kemerdekaan gara-gara UMNO yang memerintah. Terbukti selepas kes Dato' Seri Anwar, rakyat tidak lagi bermegah dengan Jalur Gemilang lebih-lebih lagi tahun ini, hampir tiada kibaran Jalur Gemilang di rumah-rumah kediaman dan kenderaan.

Yang ada hanya di pejabat-pejabat kerajaan dan premis-premis perniagaan, itupun setelah diwajibkan memasangnya. Kita ingin mengingatkan UMNO, jangan cuba menyeret ATM ke dalam masalah kamu. Jangan cuba mengada-adakan cerita untuk menarik sokongan rakyat pada kamu. Rakyat bukan bodoh macam pemimpin-pemimpin UMNO yang telah lama diperbodohkan itu.

Setelah kamu menyeret beberapa ajensi kerajaan untuk menyokong kamu, jangan diharapkan kamu boleh memperbodohkan ATM pula. Saya secara peribadi dan kita semua patut berterima kasih kepada Panglima ATM kerana buat masa ini tidak melatah dengan cerita dongeng UMNO tersebut.

Kita bertuah kerana Jeneral ATM begitu profesional dan tidak mengampu dan membodek pemimpin UMNO, berbeza dengan bekas Jeneral yang kononnya `hero' dalam Sandiwara Bukit Jenalik. UMNO tidak perlu ditumbangkan oleh anggota tentera, kerana kami di dalam PAS dan KeADILan lebih mampu menumbangkan parti yang reput dan haprak tersebut pada tahun 2003/2004 nanti, insyaallah.


Copyright ©2002  oleh Gempurdaily
Email : gempurdaily@yahoo.com