Najib ulangi ‘Skandal Watergate’
 

KOTA BHARU, 7 Sept (Hrkh) – Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Najib Tun Razak dianggap terlibat dalam satu skandal yang besar apabila mengaku dan mendedahkan dokumen sulit yang dimiliki oleh parti lawannya.

Pemangku Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kalau tindakan sebegini dilakukan di Amerika, Najib dan partinya akan dicemuh oleh semua orang kerana skandal ini sebagaimana yang dialami oleh Presiden Nixon yang terpaksa meletakkan jawatan selepas Skandal Watergate.

Najib baru-baru ini mendedahkan kononnya satu dokumen yang dimiliki oleh PAS Kedah berhubung dengan pilihan raya.

Najib berkata, dokumen itu mendedahkan perancangan PAS untuk memindahkan pengundi di negeri itu bagi menawan negeri itu.

Dalam skandal Watergate, parti Nixon yang memerintah didakwa mengintip maklumat parti lawannya untuk kepentingan partinya sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Amerika yang membawa kepada kejatuhannya.

Ustaz Hadi ketika mengulas dokumen itu berkata, PAS bukan merancang untuk memerintah Kedah sahaja tetapi PAS membuat perancangan untuk memerintah Malaysia.

“Oleh itu, PAS merangka strategi untuk menawan Malaysia bukan melnawan Kedah saja,” katanya dalam sidang akhbar selepas memberikan ucaputama di Munaqasyah Ucapan Dasar yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) pagi tadi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Ustaz Hassan Syukri ketika berucap di majlis yang sama mempertikaikan pihak-pihak yang membangkitakan persoalan permindahan pengundi yang dibuat seorang demi seorang ini.

“Ada pihak yang memindahkan pengundi ini secara pukal iaitu satu Dun dipindah ke kawasan Parlimen lain. Kenapa ini tak bising. Ini kesannya lebih besar dan boleh dikatakan lebih jahat lagi,” katanya.

Beliau dipercayai mengulas tindakan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang melibatkan perpindahan besar-besaran pengundi yang dibuat atas kepentingan parti yang memerintah iaitu BN dan Umno.

Ketika mengulas dakwaan pemimpin BN kononnya PAS memindahkan pengundi, Ustaz Hadi berkata, Ia umpama "pencuri menjerit pencuri apabila ada pihak yang tersedar dia mencuri."

Ini kerana, kata Ustaz Hadi, berdasarkan kajian dan post morten yang dibuat oleh PAS, didapati banyak sekali pengundi luar yang dimasukkan oleh Umno ke dalam kawasan tertentu yang ingin dimenangi oleh Umno.

"Misalnya kawasan saya di Marang, ramai sekali pekerja kilang Isuzu di Pekan yang didaftarkan di Marang.

"Tak kan PAS yang bawa mereka ke sini," katanya kepada wartawan.


Copyright ©2002  oleh Gempurdaily
Email : gempurdaily@yahoo.com